Friday, October 29, 2010

Sains di Sebalik Tangisan



KENAPA kita menangis? Tangisan berguna kepada deria penglihatan, membasahkan dan melicinkan bebola mata serta memudahkan pergerakan buka dan katup pelupuk. Kebanyakan haiwan di dunia ini mengeluarkan air mata untuk tujuan pelembapan dan pelinciran. Namun, manusia satu-satunya mahkluk yang dipercayai menangis atas sebab emosi, sama ada sedih atau gembira.
            Yang dikatakn sering menangis ialah wanita dan kanak-kanak, terumatanya bayi. Kajian statistik menunjukkan bahawa orang lelaki menangis secara purata 1.4 kali sebulan, manakala wanita pula mengeluarkan air mata dengan kekerapan lebih besar, 5.3 kali sebulan. Walau bagaimanapun, dari zaman bayi hingga kanak-kanak sekitar umur 12 tahun, kedua-dua jantina ini akan mempunyai kekerapan menangis yang tidak jauh bezanya.
            Kanak-kanak teruatamanya bayi yang tidak mampu bercakap akan menggunakan tangisan untuk berkomunikasi dan menyuarakan kehendaknya. Kajian sains mendapati bahawa seorang bayi sentiasa mahu melihat orang lain bersama-samanya, dan akan menangis apabila dia mengalami rasa panic atau gentar ditinggalkan keseorangan. Sewaktu menangis itu, seluruh tubuh dan otalnya dibasahkan hormonn adrenalin dan kortisol yang menyebabkan tekanan.
            Sebenarnya kita sentiasa menangis. Kornea mata harus sentiasa dibasahkan untuk berfungsi dengan sempurna. Sebelum ini, seorang ahli biokimia dari Minnesota, Amerika Syarikat, bernama Dr. William Frey telah melakukan kajian terperinci tentang air mata. Kajian beliau selama 15 tahun mendapati bahawa tangisan mempunyai tugas yang kritikal dan penting dalam operasi tubuh. Air mata kita itu bukan semata-mata digunakan dalam operasi tubuh sebagai bahan buangan sewaktu sedih atau gentar.
            Kajian psikoterapi yang dilakukan memaklumkan bahawa mereka yang kerap menangis dapat menghindari penyakit tekanan darah tinggi, serta mengurangkan suhu badan dan melembutkan denyut nadi yang terlalu laju. Selain itu, menangis boleh menurunkan aras larutan mangan di dalam tubuh. Mangan, Mn ialah bahan mineral yang mengacu perasaan dan motivasi. Kajian mendapati air mata mengandungi 30 kali ganda lebih banyak mangan daripada serum darah. Dari sudut saintifik, menangis dan meraung mampu menenangkan perasaan.
            Dr. William Frey telah mengkaji kandungan kimia yang terdapat di dalam air mata lantas melaporkan bahawa selain mangan, Mn air mata turut mengandungi musin, lipid, laktoferin, lipokalin, lakritin, imunoglobin, glukos, urea, garam dan kalium. Yang menariknya, salah satu adunan yang membentuk air mata ialah hormonn yang dipanggil ACTH (adrenocortocotropic hormone), hormone yang memangkinkan tekanan perasaan. Kerana tubuh membuang ACTH, kita selalunya berasa tenang dan puas selepas menangis.
            Sesungguhnya, menagis bukan sahaja membuang toksin di dalam tubuh, ia mempunyai impak positif kepada psikologi. Malah perbuatan memendam perasan dan enggan mengeluarkan air mata akan memberikan kesan negatif kepada tubuh. Menurut Dr. Frey, jika kita menyorokkan perasaan, tubuh akan terdedah kepada masalah fizikal dan emosional.
            Tangisan turut mempunyai sumbangan penuh berharga kepada fizikal dan psikologi manusia-dengan menangis, kita mempelajari tentang suka dan duka di dalam dunia. Maka menangislah jika mahu, seperti kata bijak pandai, mereka yang tidak tahu menghargai tangisan tidak akan tahu menghargai ketawa.
(Petikan daripada Sains dan Kehidupan oleh Shahril Hasrin Sanin, Kosmik, September 2008)

No comments:

Post a Comment

You might also like:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...