Friday, October 29, 2010

Berdisiplin dalam Makan Minum


Bahagian II
Sederhana dalam Pemakanan
Nabi bersabda, “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Sekiranya terpaksa melakukan juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah dan an-Nasai)
            Berhubung dengan ini, Ibn Qaiyim Al-Jauziyah berkata, “Sekiranya perut dipenuhi dengan makanan, ai akan menyempitkan (ruang untuk) minuman, dan sekiranya (perut itu) dipenuhi minuman, ia akan menyempitkan (ruang untuk) nafas, dan pada masa itu ia akan terdedah pada kesakitan dan keletihan. Keadaannya pada masa itu tidak ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang amat berat. Hal ini menyebabkan kerosakan hati dan menyebabkan malas untuk beribadah. Kemudian nafsu syahwat akan berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila kekenyangan menyerang seseorang. Sekiranya hal ini berterusan, ai akan memudaratkan, tetapi sekiranya (kekenyangan) ini berlaku hanya sekali-sekala, maka tidaklah mengapa.”
            Kekenyangan ada banyak mudaratnya. Menurut Imam Al-Ghazali, ia akan menyebabkan hawa nafsu bergelora dan akhirnya tubuh badan dihinggapi penyakit. Sahabat-sahabat Nabi tidak pernah kekenyangan melainkan sekali-sekal sahaja dalam hidup mereka. Contohnya, Abu Hurairah pada suatu masa meminum susu di sisi Rasulullah s.a.w sehingga beliau (Abu Hurairah) akhirnya berkata, “Demi Dia yang mengutus kamu dengan hak, aku sudah tidak ada ruang lagi untuk meminumnya.” (Tirmizi, Ahmad, Baihaqi dan Al-Hakim).

Makanan Berkhasiat Diutamakan
Makanan yang disukai oleh Nabi s.a.w ialah yang berkhasiat lagi lazat. Ibn Qaiyim Al-Jauziyah berkata, “Nabi memakan makanan yang biasa dimakan oleh orang-orang setempat seperti daging, buah-buahan, roti, tamar dan yang lain-lainnya. Sekiranya beliau tidak berselera untuk memakan sesuatu, beliau tidak akan menjamahnya dan tidak akan memaksa diri untuk menjamahnya. Ini adalah asas penting dalam penjagaan kesihatan kerana apabila seseorang dipaksa memakan sesuatu yang tidak disukai, ia mendatangkan lebih banyak mudarat daripada manfaat. Di samping itu, beliau suka minum madu lebah yang dicampurkan dengan air sejuk.”

No comments:

Post a Comment

You might also like:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...