Saturday, October 30, 2010

APA ITU ASMA???

Ungkapan ini sering diajukan kepada pengamal perubatan oleh segenap lapisan asyarakat di seluruh dunia. Persoalan ini telah membuka ruang kepada penyelidik dalam bidang respiratori untuk mengenal pasti maksud sebenar penyakit asma.
            Secara amnya, penyakit asma boleh didefinisikan sebagai sejenis penyakit paru-paru yang terjadi akibat radang dan penyempitan salura pernafasan.
            Dari sudut perubatan pula, penyakit asma boleh dideskripsikan sebagai ketidakaturan atau ganguan keradangan yang kronik melibatkan saluran udara. Saluran udara merupakan laluan bagi udara yang disedut untuk memasuki paru-paru.
            Bagi pesakit asma, saluran udara mereka akan mengalami keradangan yang sangat sensitif apabila terdedah kepada pelbagai rangsangan atau pencetus. Hal ini mengakibatkan saluran pernafasan akan menjadi sempit, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

            Menurut catatan sejarah yang ditulis oleh Hippocrates, perkataan “asma” berasal daripada bahasa Yunani, iaitu ashma yang membawa maksud sukar bernafas. Ia merupakan sejenis penyakit yang telah lama wujud sejak 2000 tahun yang lalu dan berlarutan sehingga kini.
            Penyakit asma turut dikaitkan dengan alahan (alergi), tetapi bukan semua pesakit asma mengalami alahan. Kanak-kanak dengan sejarah keluarga menghidap penyakit asma atau alahan juga merupakan individu yang paling berisiko untuk menghidap penyakit ini.
            Walau bagaimanapun, punca sebenar penyakit ini masih samar. Namun demikian, terdapat beberapa kajian yang dijalankan ke atas pasangan kembar yang menunjukkan bahawa faktor genetik boleh menyumbang sebanyak 75 peratus perkembangan penyakit asma di peringkat kanak-kanak.
            Selain itu, terdapat juga hasil kajian perubatan yang menunjukkan lebih banyak kanak-kanak lelaki menghidap penyakit asma berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Namun begitu, apabila meningkat dewasa pula, lebih banyak wanita yang didapati menghidap penyakit asma berbanding dengan lelaki.

1 comment:

You might also like:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...