Friday, October 29, 2010

Petai dan Diabetes



PETAI atau nama saintifiknya, Parkia speciosa yang berasal daripada family Fabaceae merupakan tumbuhan yang biasanya dijadikan ulaman. Pokok petai merupakan sejenis tumbuhan saka yang besar yang boleh mencapai ketinggian 30-50 meter. Tumbuhan ini dipercayai tumbuhan asal dari Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya yang beriklim tropika. Petai berbuah mengikut musim dan cuma boleh didapati di pasaran sekitar pertengahan tahun dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
            Petai apabila diekstrak akan menghasilkan banyak sebatian kimia yang sesetengahnya telah dibuat kajian dan terbukti secara tradisional dan saintifik keberkesanannya mencegah pelbagai penyakit. Kandungan sebatian utamanya ialah Polisulfida (1,2,4-tritiolana; 1,2,4,6-tetratiepana; lentionina), lektin, stigmasterol dan sebagainya. Sebatian kimia ini dikenal pasti selepas menjalani ujian pengesahan struktur sebenar melalui data NMR (Nuclear Magnetic Resonans), IR (Infrared), Melting Point, UV (ultraviolet) dan Mass Spectrometry sebelum ujian seterusnya dijalankan.
            Dalam perubatan tradisional yang turun termurun daripada generasi terdahulu, petai telah mendapat tempatnya tersendiri dan memang terbukti mujarab merawat pelbagai penyakit. Daripada daun hingga ke akarnya, mempunyai nilai tersendiri dalam perubatan.
            Selain itu, akarnya direbus dan diminum air pahitnya bagi merawat diabetes. Menurut tradisi orang tua terdahulu, buah dan biji petai juga boleh digunakan untuk mengubati diabetes, ederma (kewujudan air yang banyak di dalam ruang di antara sel tisu), masalah ginjal, menurunkan hipertensi dan helmintik (cacing parasit di dalam usus). Buah petai juga tinggi dengan kandungan zat besi, iaitu berfaedah bagi pembentukan hemoglobin terutamanya kepada pesakit anemia.
            Dalam kajian saintifik pula, kajian yang telah dilakukan oleh Nordin Lajis dan pasukan penyelidiknya dalam jurnal bertajuk “Hypoglycaemic effect of Stigmast-4-en-3-on, from Parkia speciosa Empty Pods” pada tahun 1995 mendapati ekstrak kloroform kulit petai boleh menurunkan tahap glukosa dalam darah yang ketara dalam satu kajian keatas tikus diabetes teraruhaloksan. Seterusnya, ekstrak dilakukan bagi pemencilan bahan kimia melalui pelabagai tekni “kromatografi” dan mendapati bahan kimia stigmast-4-en-3-on memberikan kesan kepada aktiviti hipoglisemik ini.
            


        Dalam kajian ke atas biji petai pula penyelidik yang sama dengan tajuk “Hypoglycaemic Effect of Parkia speciosa Seeds Due to the Synergistic Action of β-Sitosterol and Stigmasterol” pada tahun 1994, mendapati biji petai dapat memberikan kesan penurunan tahap glukosa dalam darah yang ketara. Seterusnya pengekstrakan dan pemencilan dijalankan juga dan menghasilkan sebatian β-sitosterol dan stigmasterol. Seterunya ujian secara individu dijalankan, tetapi tidak menghasilkan kesan hipoglisemik. Kesimpulan kajian ini mendapti kedua-dua sebatian ini bertindak secara sinergik untuk menghasilkan kesan hipoglisemik.
            Khasiat petai amat banyak kepada sektor perubatan di negara ini. Industri farmaseutikal seharusnya bekerjasama dalam mengkormersialkan kajian yang telah dijalankan oleh saintis tempatan. Banyak rahsia mengenai petai daripada sumber batang, bunga dan pucuk masih belum dijalankan sepenuhnya.

(Petikan daripada Petai dan Diabetes oleh Mohd Nasir Mat Nor dan Siti Balqis Md Nor, Kosmik, September 2008)

No comments:

Post a Comment

You might also like:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...