Saturday, October 30, 2010

TIDUR MALAM BERDENGKUR



Punca-punca Berdengkur
Walaupun berdengkur boleh disebabkan masalah sentral, iaitu otak, tidak kurang juga jumlahnya mereka yang menghadapi masalah ini terutamanya dalam kalangan kank-kanak berpunca daripada masalah halangan atau penyempitan saluran pernafasan. Antara punca boleh ubah yang dikenal pasti menjadi sebab berdengkur ialah obesiti atau masalah kegemukan, saluran tekak yang sempit akibat kelenjar tonsil dan adenoid (sengau) yang besar, rongga hidung yang tersumbat disebabkan masalah alahan atau tulang hidung yang bengkok dan sebagainya. Sesetengah mangsa gejala ini akan mengalami kesakitan seperti sakit dan lemas kerana terpaksa bertarung untuk bernafas dalam ruang yang sempit.

          Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini akan mengakibatkan lelangit lembut (bahagian tekak) akan bergetar. Getaran ini akan menghasilkan bunyi yang kita dengar sebagai dengkur.

Tanda-tanda Berdengkur
Selain gejala berdengkur yang mungkin diberitahu oleh orang yang melihat mereka tidur, pesakit yang menghadapi masalah ini juga mungkin mengalami tanda lain yang merupakan manisfestasi kualiti tidur malam yang tidak mencapai kepuasan. Antaranya termasuklah sukar bangun pagi dan rasa mengantuk pada siang hari yang turut akan menjejaskan productiviti kerja seharian. Pesakit akan mudah berasa marah dan tekanan darah yang tinggi atau hipertensi yang sering kali dikaitkan dengan keadaan ini. Mereka yang mengalami dengkur yang kronik boleh mendapat masalah penyakit jantung atau kompilasi kepada sistem pernafasan (sleep apnea iaitu berhenti bernafas kira-kira 10 saat sewaktu tidur).
          Mengantuk yang melampau pada waktu puncak siang hari amat berbahaya kepada mereka yang bekerja yang memerlukan tumpuan seratus peratus seperti pengendali jentera dan mesin di kilang, pemandu kenderaan awam dan sebagainya. Bagi kanak-kanak dan pelajar sekolah, gelaja ini akan membawa terganggunya konsentrasi pembelajaran dalam kelas. 
           Mereka yang mengalami masalah ini biasanya akan diperiksa oleh doktor di klinik pakar telinga, hidung dan tekak. Ujian untuk mengesahkan keadaan dan tahap keterukan dengkur ini dipanggil ujian tidur. Dalam ujian ini, pesakit akan diminta untuk tidur seperti biasa tetapi pada masa yang sama, keadaan pernafasan, dengkur atau apnea akan direkodkan. Selain itu, pesakit yang mengalami masalah pernafasan sewaktu tidur akan memberikan bacaan kekurangan bekalan dan ketepuan oksigen yang rendah dalam sistem peredaran darah. Kesan ini dalam jangka masa yang panjang amatlah tidak baik terutama jika bekalan oksigen yang rendah ini dikaitkan dengan organ vital seperti otak yang berkeperluan tinggi.

APA ITU ASMA???

Ungkapan ini sering diajukan kepada pengamal perubatan oleh segenap lapisan asyarakat di seluruh dunia. Persoalan ini telah membuka ruang kepada penyelidik dalam bidang respiratori untuk mengenal pasti maksud sebenar penyakit asma.
            Secara amnya, penyakit asma boleh didefinisikan sebagai sejenis penyakit paru-paru yang terjadi akibat radang dan penyempitan salura pernafasan.
            Dari sudut perubatan pula, penyakit asma boleh dideskripsikan sebagai ketidakaturan atau ganguan keradangan yang kronik melibatkan saluran udara. Saluran udara merupakan laluan bagi udara yang disedut untuk memasuki paru-paru.
            Bagi pesakit asma, saluran udara mereka akan mengalami keradangan yang sangat sensitif apabila terdedah kepada pelbagai rangsangan atau pencetus. Hal ini mengakibatkan saluran pernafasan akan menjadi sempit, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

            Menurut catatan sejarah yang ditulis oleh Hippocrates, perkataan “asma” berasal daripada bahasa Yunani, iaitu ashma yang membawa maksud sukar bernafas. Ia merupakan sejenis penyakit yang telah lama wujud sejak 2000 tahun yang lalu dan berlarutan sehingga kini.
            Penyakit asma turut dikaitkan dengan alahan (alergi), tetapi bukan semua pesakit asma mengalami alahan. Kanak-kanak dengan sejarah keluarga menghidap penyakit asma atau alahan juga merupakan individu yang paling berisiko untuk menghidap penyakit ini.
            Walau bagaimanapun, punca sebenar penyakit ini masih samar. Namun demikian, terdapat beberapa kajian yang dijalankan ke atas pasangan kembar yang menunjukkan bahawa faktor genetik boleh menyumbang sebanyak 75 peratus perkembangan penyakit asma di peringkat kanak-kanak.
            Selain itu, terdapat juga hasil kajian perubatan yang menunjukkan lebih banyak kanak-kanak lelaki menghidap penyakit asma berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Namun begitu, apabila meningkat dewasa pula, lebih banyak wanita yang didapati menghidap penyakit asma berbanding dengan lelaki.

ADUH JERAWAT!!!


Apakah Penyebab Jerawat
Jerawat disebabkan penyumbatan liang folikel. Liang ini terdapat pada permukaan kulit. Ia seharusnya terbuka luas untuk membenarkan sebum keluar bagi melembapkan permukaan kulit muka.

            Penyumbatan liang ini bermula dengan proses yang dipanggil hiperkertinisasi. Preoses ini berlaku pada bahagian bukaan liang sesebuah unit polisebaseous. Keratin dan sebum yang terbentuk tidak boleh keluar dan seterusnya mengakibatkan pembengkakan.

            Peningkatan hormon androgen di dalam badan seseorang itu juga akan mempengaruhi pembentukan sebum yang lebih banyak. Penyumbatan ini akan membentuk comodone (berbintik hitam). Bergantung pada jenis penyumbatan, comodone ini akan dipanggil whitehead (bintik putih) atau blackhead (bintik hitam). Sekiranya penyumbatan ini mengakibatkan jangkitan kuman, ia akan menjadi merah dan sakit. Keradangan ini boleh menghasilkan keadaan yang lebih serius seperti jerawat sista. Bakteria Propionibacterium acnes adalah sejenis bakteria yang biasa dikaitkan dengan kehadiran jerawat.
            Masih terdapat banyak tanda tanya mengapa sesetengah orang tidak mendapat jerawat manakala sesetengah lagi mendapatnya dengan teruk. Faktor genetik dikatakan memainkan peranan bagi menerangkan keadaan ini.
            Banyak kajian daripada para pengkaji mendapati pembentukaan jerawat ini menjurus kepada kehadiran hormon “lelaki” yang berlebihan. Hormon seperti testosteron, dihydroxyepiandrosterone dan dhidroksitestosterone selalunya berlebihan kepada penderita jerawat. Sesetengah penyakit seperti Cushing sindrom dan Polysystic Ovarian disease adalah penyakit yang berkait rapat dengan kehadiran hormon “lelaki” yang meningkat.


Faktor Kehadiran Jerawat
  • Keturunan atau geneti. Anak yang mempunyai ibu bapa yang berjerawat akan lebih mudah mendapat masalah ini berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai masalah dalam keluarga.
  • Sesetengah pengunaan ubat-ubatan seperti steroid, litium, barbiturat dan androgen juga mempunyai pengaruh terhadap pembentukan jerawat.
  • Peningkatan hormon androgen seperti sesorang yang baru mencapai akil baligh atau kitaran hormon seperti gadis yang mengalami haid juga memberi kesan terhadap pembentukan jerawat tersebut. Ini kerana peningkatan hormon ini akan menjadikan aktiviti kelenjar sebum bertambah. Penambahan sebum boleh menggalakan pembentukan jerawat.
  • Terdapat juga beberapa bahan kimia dan toksik yang boleh menyebabkan penghasilan jerawat jika terdedah kepada kita. Antara bahan tersebut ialah iodida, bromida dan klorida. Bahan toksik seperti dioksina juga boleh menghasilkan pembentukan jerawat.

Friday, October 29, 2010

Berdisiplin dalam Makan Minum


Bahagian II
Sederhana dalam Pemakanan
Nabi bersabda, “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Sekiranya terpaksa melakukan juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah dan an-Nasai)
            Berhubung dengan ini, Ibn Qaiyim Al-Jauziyah berkata, “Sekiranya perut dipenuhi dengan makanan, ai akan menyempitkan (ruang untuk) minuman, dan sekiranya (perut itu) dipenuhi minuman, ia akan menyempitkan (ruang untuk) nafas, dan pada masa itu ia akan terdedah pada kesakitan dan keletihan. Keadaannya pada masa itu tidak ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang amat berat. Hal ini menyebabkan kerosakan hati dan menyebabkan malas untuk beribadah. Kemudian nafsu syahwat akan berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila kekenyangan menyerang seseorang. Sekiranya hal ini berterusan, ai akan memudaratkan, tetapi sekiranya (kekenyangan) ini berlaku hanya sekali-sekala, maka tidaklah mengapa.”
            Kekenyangan ada banyak mudaratnya. Menurut Imam Al-Ghazali, ia akan menyebabkan hawa nafsu bergelora dan akhirnya tubuh badan dihinggapi penyakit. Sahabat-sahabat Nabi tidak pernah kekenyangan melainkan sekali-sekal sahaja dalam hidup mereka. Contohnya, Abu Hurairah pada suatu masa meminum susu di sisi Rasulullah s.a.w sehingga beliau (Abu Hurairah) akhirnya berkata, “Demi Dia yang mengutus kamu dengan hak, aku sudah tidak ada ruang lagi untuk meminumnya.” (Tirmizi, Ahmad, Baihaqi dan Al-Hakim).

Makanan Berkhasiat Diutamakan
Makanan yang disukai oleh Nabi s.a.w ialah yang berkhasiat lagi lazat. Ibn Qaiyim Al-Jauziyah berkata, “Nabi memakan makanan yang biasa dimakan oleh orang-orang setempat seperti daging, buah-buahan, roti, tamar dan yang lain-lainnya. Sekiranya beliau tidak berselera untuk memakan sesuatu, beliau tidak akan menjamahnya dan tidak akan memaksa diri untuk menjamahnya. Ini adalah asas penting dalam penjagaan kesihatan kerana apabila seseorang dipaksa memakan sesuatu yang tidak disukai, ia mendatangkan lebih banyak mudarat daripada manfaat. Di samping itu, beliau suka minum madu lebah yang dicampurkan dengan air sejuk.”

Berdisiplin dalam Makan Minum

Bahagian I
Banyak penyakit yang menyerang manusia berkait rapat dengan makan minum mereka. Nabi Muhammad s.a.w sering mengingatkan umat Islam berkenaan bahaya perut supaya mereka lebih berwasapada. Dalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menjelaskan tujuh adab sebelum makan yang perlu dijaga:
  • Memastikan makanan dari sumber yang halal.
  • Membasuh tangan
  • Meletakkan makanan di dalam bekas yang diletakkan di atas lantai kerana dapat melatih diri menjadi tawaduk. Namun sekiranya makanan diletakkan di atas meja tanpa melampaui batas, ia tidaklah dilarang,
  •  Duduk secara betul. Dilarang makan sambil berbaring dan bersandar.
  •  Berniat supaya makanan itu akan mendatangkan kekuatan untuk beribadah kepada Allah.
  •  Berasa gembira dengan rezeki yang terhidang dan bersyukur.
  •  Berusaha untuk tidak makan seorang diri, tetapi bersama-sama dengan orang lain walaupun dalam kalangan keluarga dan anak sendiri.


§  Beliau juga telah menerangkan beberapa adab semasa makan, yang perlu dijaga supaya makanan itu diberkati ALLAH:
  • Memulakan dengan Bismillah dan doa.
  • Makan dnegan tangan kanan.
  • Mengunyah dengan baik.
  • Jangan dicaci sebarang makanan.
  • Sebaik-baiknya dijamah makanan yang terdekat kecuali buah-buahan.
  • Jangan menghembus di atas makanan yang panas. Tunggu dengan sabar.
  • Jangan makan secara berlebihan.
  • Sekiranya terpaksa minum air, pastikan sedikit sahaja kecuali sekiranyan perlu. Berhubung dengan adab sesudah makan, beliau memberikan beberapa tunjuk ajar berkenaannya:
·         berhenti makan sebelum kenyang
·         menjilat jari
·         membasuh tangan
·         mengeluarkan makanan yang terlekat dicelah gigi
·         banyak bersyukur kepada Allah
·         beristighfar supaya diampunkan Allah sekiranya ada unsur-unsur keraguan pada makanan itu.

You might also like:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...